29 December 2011

Lagi jauh kita lari, lagi dekat ia datang

credit to Google.com

Assalamualaikum

Kadangkala kita terfikir. Mengapa kita diuji dengan kesukaran yang kadang-kadang mampu membuat kita untuk menjadi seorang yang mudah putus asa. Kadang-kadang kita bisa merasakan bahawa hidup kita bagai terhenti seketika tatkala memikirkan tentang segala masalah yang kita telah/sedang hadapi. Mungkin. Mungkin jua masalah-masalah itu datang dari kita sendiri. Manusia memang dilahirkan tidak sempurna bukan? Setiap orang pernah buat silap. Setiap orang selalu buat salah. Akan tetapi, apa yang kita harus tanamkan dalam diri kita sekarang ialah kita tidak akan melakukan setiap kesilapan itu lebih dari sekali. Cukuplah sekali.


Masalah sering melanda kita semua. Seseorang pernah berkata. Allah hanya akan turunkan kesukaran itu untuk mereka yang mampu menanganinya. Kita mudah terleka. Terbuai dengan kehidupan duniawi yang Maha indah. Mula lupa dengan Pencipta kita. Lupa diri. Hilang segala maruah semata-mata untuk mengejar kemewahan hidup. Bukan untuk mengutuk tetapi itulah hakikat sebenar yang berlaku pada diri kita. Jadi Allah turunkan sedikit kesulitan agar kita sedar bahawa kita seharusnya ingat padaNYA. Kepada DIAlah tempat kita mengadu nasib. Kepada DIAlah tempat kita berlindung. Kepada DIAlah tempat untuk kita berserah.


Masalah?Kesulitan?Kesukaran? Ianya tidak datang tanpa sebab. Mungkin dengan kesukaran yang kita alami itu mampu membuatkan kita tersenyum di penghujung hari. Mungkin juga dengan kesulitan itu mampu untuk mematangkan diri kita untuk menjadi yang terbaik dalam hidup kita. Masalah itu adalah pengalaman kita. Tanpa sebarang masalah, hidup kita tidak berwarna-warni. Kosong. Yang ada mungkin hanya 1 warna iaitu kesenangan dan kemewahan.


Kesukaran itu tidak menjadi sebab untuk kita patah semangat. Sesungguhnya kita harus menangani setiap permasalahan yang berlaku ke atas diri kita dengan cara yang positif. Mengelak sebelum terkena. Berfikir sebelum bertindak. Berusaha untuk keluar dari segala kesukaran. Dan akhir sekali barulah anda berdoa kepada Allah dan bertawakal kepadaNYA.


Wassalam.

No comments: