21 March 2011

Kadang-kadang.


Kita tak sedar bahawa apa yang kita cakap itu telah menyinggung perasaan sahabat karib kita. Tapi atas dasar ingin menjaga hati, sahabat baik tersebut hanya menelan sahaja apa yang telah kita luahkan. Yang paling sadis, kita langsung tak tahu bahawa dia telah terkecil hati.


Kita tak sedar bahawa ada yang lebih susah kehidupannya dari kita. Masih ada lagi mereka diluar sana yang bersyukur dapat makan nasi seminggu sekali. Yang paling sadis, kita asyik merungut makanan tak sedaplah, makanan tak menariklah, makanan tak menyelerakanlah dan sebagainya.


Kita tak sedar diri bila sudah dibantu oleh sahabat karib. Si sahabat sanggup berlapar demi melihat kita dapat menjamah sebutir nasi. Yang paling sadis, kita langsung tidak sudi untuk menjamah nasi yang diberikan apatah lagi untuk berterima kasih kepadanya.


Kita tak sedar bahawa barangan yang ingin kita beli itu tidak termampu untuk dibayar oleh sang ayah. Barangan berjenama ditambah lagi dengan produk keluaran terbaru oleh salah satu jenama kegilaan kita itu menambah lagi keterujaan kita untuk mendapatkannya. Yang paling sadis, kita langsung tidak fikir samada ibu bapa kita mampu membeli barangan itu untuk kita atau tidak.

No comments: